Adab Menyambut Cahaya Mata

Adab Menyambut Cahaya Mata

 

Saya menulis tajuk ini sebagai meraikan sahabatĀ² saya yang menerima cahaya mata baru-baru ini.

Tahniah dari kami sekeluarga kepada saudara Suffian di Sg. Seluang Kedah dan saudara Adib di Bangi. Semoga Allah berkati kalian.

Saya cuma memetik adab-adab dari buku Tarbiyatul Aulad / Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, karangan Abdullah Nasih Ulwan. Semoga penulis di alam sana sentiasa mendapat manfaat & dicucuri rahmat Allah, dan semoga pembaca di ruangan siber ini dapat manfaatkan buat kebaikan keluarga masing-masing.

Jika kita santuni buku Tarbiyatul Aulad ini, penulis mensyarahkan tatacara atau adab menyambut cahayamata dengan panjang lebar dan begitu lengkap.

Di sini saya merumuskan perkara-perkara tunjang dalam menyambut suatu kelahiran. Dan saya syorkan pembaca semua menekuni sendiri kitab tersebut supaya mendapat kefahaman yang lebih mendalam dan mengetahui huraian hadis-hadis yang berkaitan dengan kelahiran anak.

 

Adab Menyambut Cahaya Mata

Apa yang perlu dilakukan ketika kelahiran anak?

 

1) Sunat digembirakan serta diucapkan tahniah

Apa yang dilakukan oleh masyarakat kita sekarang dengan datang membawa hadiah adalah sangat dituntut. Amalan ini akan menggembirakan keluarga tersebut.

Adab Menyambut Cahaya Mata

2) Sunat azan dan iqamat ketika menerima kelahiran anak

Caranya ialah mengazankan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya. Sebaik-baiknya dilakukan sebaik anak itu dilahirkan.

Apa pula signifikannya? Supaya awal-awal bunyi yang didengari bayi itu adalah kalimah seruan yang mulia dan mengandungi kebesaran Tuhan. Selain itu juga supaya syaitan lari daripada bayi itu. Syaitan dari awal lagi ternanti-nanti akan kelahiran bayi tersebut. Maka lindungilah anak dari seawal-awal waktunya di dunia ini.

3) Tahnik ketika anak baru dilahirkan

Apa itu tahnik? Tahnik ialah mengunyah kurma dan memindahkannya ke lidah bayi. Letakkan di hujung jari, lalu dimasukkan ke dalam mulut anak, digerakkan dengan lembut ke kanan dan ke kiri sehingga rata ke seluruh mulut anak.

Jika tiada kurma, boleh digantikan dengan manisan lain, contohnya madu.

dates kurma tamar Atasi Sembelit Bayi dan Kanak-kanak

4) Menggunting (cukur) rambut anak

Disunatkan gunting rambut anak pada hari ke tujuh. Kemudian ditimbang rambut itu dengan perak dan disedekahkannya kepada fakir miskin.

Apa kelebihannya? Sumber kekuatan. Liang rambutnya akan terbuka. Ini akan menguatkan pengelihatan, pernafasan dan pendengarannya. Kedua, hikmah kemasyarakatan. Dengan bersedekah, ia membantu membasmi kemiskinan dan menimbulkan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu dalam masyarakat.

Cukur pula hendaklah dilakukan pada keseluruhan kepala anak. Dilarang bagi kita untuk mencukur sebahagian tertentu kepala. Ini menunjukkan kesempurnaan Allah dan rasulNya dalam hal keadilan.

5) Menamakan anak dengan nama yang baik

Di hari kiamat nanti, kita akan dipanggil dengan nama kita dan nama bapa kita. Maka perelokkanlah nama keturunan kita dengan nama yang baik. Terdapat nas yang mengajar kita menamakan anak pada hari ketujuh, dan ada yang mengatakan pada hari kelahirannya.

6) Aqiqah

Afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran. Juga afdalnya dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan.

Adab lain ialah tidak mematahkan/memotong tulang haiwan korban tersebut, tetapi meleraikan tulang pada sambungannya.

 

7) Khitan/Sunat/Jawi

Mazhab Syafie mewajibkan khitan, iaitu memotong qulfah, yakni kulit yang menutupi kepala zakar.

Orang melayu umumnya berkhitan sekitar umur 6-12 tahun. Sedangkan seeloknya anak dikhitankan sebaik sahaja dia lahir, atau pun hari ketujuhnya.

Antara hikmahnya dapat dijauhkan dari penyakit kulit, kanser, dan menghindar dari kencing malam.

 

 

Kesemua adab-adab di atas adalah kayu ukur kepada sejauh mana kita sebagai ibubapa mengambil berat tentang urusan anaknya sejak hari pertama dia hadir di alam dunia ini.

Jika langkah-langkah pertama ini pun tidak dihiraukan, apalah yang kita boleh harapkan dari penjaganya setelah anak itu besar.

Adab-adab di atas penting supaya kita dapat menjadikan anak kita sihat dan kuat, supaya anak kita dapat mengangkap hakikat-hakikat yang berlaku di sekelilingnya dengan cepat dan matang.

Semoga Allah memberkati usaha kita semua. Amin.

 

Sekian. Selamat mengasuh! ^^

 

Saif Khalid

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *