Akhlak Anak. Tugas Ibu Bapa Atau Guru?

 

Sehari dua ni negara kita dihebohkan dengan kejadian buli di asrama sebuah sekolah.

Media sosial sangat ‘membantu’ menyebarkan perkara-perkara sebegini.

Mungkin selama ini telah banyak kejadian buli atau pukul-memukul antara pelajar sekolah. Tetapi kali ini sangat memanaskan mata saya yang melihatnya.

Mengapa saya katakan begitu?

Kerana ia berlaku dalam sebilangan pelajar yang ramai, di siang hari, dan dalam waktu yang lama. Saya kira jika saya berada di tingkat bawah, atau di bangunan sebelah, mungkin saya pun boleh mendengar kejadian tersebut.

Baiklah, saya tak mahu mengulas panjang kejadian tersebut.

 

remaja buli Akhlak Anak. Tugas Ibu Bapa Atau Guru

 

Dimanakah Akhlak Anak-anak Dibentuk?

 

Kejadian seperti ini membuatkan saya berfikir sejenak. Apakah punca berlakunya kejadian sedemikian.

Sering kita dengar ibubapa merungut tentang prestasi anak di sekolah. Antaranya;

Bila tengok pelajar melepak di pusat membeli-belah waktu sekolah, “Pelajar ramai ponteng ni. Cikgu tak buat kerja ke?”

“Saya hantar anak ke sekolah hari-hari, belajar dari pagi sampai ke petang, kenapa tak pandai-pandai?”

 

Masyarakat kita ramai yang suka menuding jari. Jarang-jarang yang melihat diri dan menilai sendiri apa usaha yang kita telah lakukan. Segala kesilapan yang berlaku dituduh orang lain sebagai punca.

 

Persoalannya, dimanakah akhlak anak-anak dibentuk?

Adakah di sekolah? Di rumah? Di jalanan?

Kita semua pun tahu jawapannya. Akhlak anak-anak dibentuk di rumah sejak kecil. Malah tarbiah itu bermula dari rumah, sejak dalam kandungan lagi!

Cuma kita hanya dapat lihat hasil didikannya apabila mereka mula pandai berkata-kata, pandai bergerak ke sana sini, dan pandai berkomunikasi dengan bahasa dan tubuh badan.

 

Adakah adil bagi kita untuk menyalahkan guru apabila anak-anak tidak beradab?

Sedangkan apa yang anak kita lakukan adalah cerminan didikan kita di rumah. Jika baik didikannya, maka baiklah perlakuannya di sekolah. Jika sebaliknya, maka pincanglah akhlaknya di sekolah.

Saya tidak terhadkan di sekolah. Akhlaknya boleh dinilai di mana-mana sahaja.

 

Apa Pula Tugas Guru?

Guru adalah ibubapa kedua, iaitu selepas ibubapa kandung atau penjaga di rumah. Didikan di rumah bersifat lebih dominan. Manakala didikan guru di sekolah adalah tokokan kecil kepada personaliti anak-anak.

Guru tugasnya menyampaikan ilmu tambahan kepada anak-anak. Ilmu asas mengenai akhlak dan ilmu kemahiran hidup asas sepatutnya diajar oleh ibubapa di rumah.

 

Akhlak Anak. Tugas Ibu Bapa Atau Guru?

 

Cuma dewasa ini kita dapat melihat senario di mana kebanyakan kedua ibu dan bapa bekerja seharian di luar. Anak dihantar ke sekolah dan pengasuh dan juga transit. Apabila petang atau malam, barulah anak diambil oleh ibubapa dan pulang ke rumah.

Sampai di rumah, ibubapa penat dan nak rehat. Anak-anak tak dihiraukan. Langsung tidak ditanya mengenai aktiviti hariannya di sekolah dan di pusat transit. Di sinilah kesilapan berlaku.

 

Apa Patut Kita Lakukan?

 

Sebagai ibubapa, kita harus rapat dengan anak. Selalulah bertanya khabar anak-anak. Pastikan kita tahu apa aktiviti hariannya, tahu siapa kawan-kawannya. Ini dari segi pantauan.

Selain itu, kita perlu bimbing mereka ke arah kebaikan. Bagi anak lelaki, ajaklah mereka bersama ke masjid ketika waktu solat. Rajin-rajinlah bawa mereka ke majlis-majlis ilmu.

Jika menonton tv di rumah, tontonlah rancangan-rancangan yang berfaedah. Sekarang kan dah banyak rancangan bagus-bagus. Majlis ilmu kerap disiarkan. Begitu juga dengan diskusi ilmiah.

Jika masa kita tidak diisi dengan kebaikan, maka tidak lain tidak bukan, perkara yang buruk akan memasuki diri kita.

Apabila kita rapat dengan anak, barulah anak-anak akan berkongsi dengan kita apa yang berlaku sehari-hari, temasuklah masalah-masalah yang dihadapi mereka. Maka lebih mudahlah konflik diselesaikan.

 

 

anak remaja ayah Akhlak Anak. Tugas Ibu Bapa Atau Guru

 

Saya percaya, jika ibubapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak, tidak akan berlaku masalah-masalah sosial seperti yang kerap berlaku sekarang.

 

Jangan terlalu mengejar tangga karier, sehingga suatu hari nanti kita baru perasan – anak kita dah besar sebelum sempat kita meluangkan masa dengan mereka pun!

 

Ayuh, ambil peduli tentang anak sebelum anak kita terpaksa dipedulikan oleh orang lain.

 

-Saif Khalid-

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *