Category Archives: Motivasi & Inspirasi

Teknik Menghafaz Al-Quran

Pergilah ke mana-mana ceruk – bandar, pekan, kampung di sekitar Malaysia ini, mudah untuk kita temui madrasah atau Maahad Tahfiz Al-Quran.

Sekarang, kesedaran masyarakat umum terhadap kepentingan agama, khususnya ilmu Al-Quran, semakin meningkat. Satu petanda yang baik. Alhamdulillah.

Semoga semua pihak yang mendokong ilmu agama ini akan mendapat syafaat di akhirat kelak, insyaAllah.

Hari ini suka saya berkongsi dengan pembaca yang dikasihi sekalian, teknik menghafaz Al-Quran yang telah saya amalkan ketika di Maahad Tahfiz dulu.

 

Teknik Menghafaz Al-Quran

 

Teknik Menghafaz Al-Quran

Sebelum memulakan sebarang hafazan, kami dikehendaki menyemak bacaan dengan guru supaya tiada sebarang kesalahan tajwid. Kalaupun tidak sampai tahap sempurna, paling kurang tiada kesalahan besar berlakucontohnya tersalah baris, tertukar huruf, tertinggal dengung, atau salah panjang/pendek bacaan mad.

Ini amat penting kerana jika kita melakukan kesilapan pada peringkat awal hafazan lagi, khuatir kesilapan itu terpahat dalam ingatan. Jika kita menghafaz ayat Al-Quran dengan bacaan yang salah, maka sukar untuk kita perbetulkan di masa hadapan. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?

 

Baik, kita terus ke fasa menghafaz.

Apakah matlamat kita? Hafal kesemua 30 juzuk Al-Quran? Satu juzuk, satu surah pendek atau satu mukasurat?

Apapun target kita, caranya sama sahaja – iaitu ambil sedikit demi sedikit.

Untuk kita menghafaz 30 juzuk Al-Quran, sudah pasti kita perlu hafaz satu juzuk demi satu juzuk.

Untuk menghafaz satu juzuk, perlulah satu muka demi satu muka.

Dan yang paling penting, untuk menghafaz satu muka, perlu hafaz sebahagian demi sebahagian.

 

Saya bawakan satu contoh mudah. Katakan kita ingin menghafaz Surah Al-Mulk yang terdiri dari 30 ayat, dan dua mukasurat setengah.

Setelah kita menyemak bacaan dengan guru, kita mulakan hafazan dengan melazimi surah tersebut secara keseluruhan. Maksudnya kita baca dari ayat 1 sehingga ayat 30, secara sepintas lalu, berulang kali. Ulangi surah tersebut sebanyak 20 kali terus menerus, kita secara automatik sudah mula mengingatinya. Jika seseorang membaca satu ayat, mungkin kita akan boleh menyambungnya secara spontan.

 

Tahap kedua – ayat demi ayat.

Baca ayat 1 berkali-kali dan cuba membaca tanpa melihat mushaf. Setelah berjaya, hafal ayat 2.

Berjaya hafal ayat 2, ulang ayat 1 dan 2 sehingga lancar tanpa tersangkut.

Mara ke ayat 3. Setelah ingat ayat 3, lancarkan ayat 1 hingga ayat 3.

Ulangi langkah di atas sehingga satu mukasurat. Jika terlalu banyak untuk anda, kurangkan kepada setengah mukasurat.

Lancarkan separuh mukasurat pertama dahulu, kemudian hafal mukasurat kedua. Setelah lancar, gabung kedua-dua bahagian tersebut.

Ulangi langkah ini sehingga habis surah tersebut.

Langkah akhir, gabungkan kesemua bahagian, sehingga kita mampu membaca satu surah tanpa tersangkut.

Jika tersangkut, ulangi bahagian tersebut sehingga lancar.

Tips: Pastikan kita lancarkan juga hujung bahagian pertama dengan awal bahagian kedua. Contohnya kita ulangbaca ayat terakhir mukasurat pertama dengan ayat pertama mukasurat kedua.

Tahniah! Anda berjaya menghafaz satu surah dari 114 surah Al-Quran.

Ingat, kita belum tamat di sini.

Pastikan kita baca hafazan baru kita ini setiap hari sekurang-kurangnya selama seminggu. Kerana hafazan baru sangat manja. Jika tidak dibaca pada hari kedua-ketiga, kemungkinan besar kita akan melupakan sebahagian darinya.

Cara terbaik? Bacalah dalam solat kita, solat sunat mahupun yang fardhu.

Setelah kita melazimi surah tersebut selama seminggu. Kita boleh mula menghafaz surah lain. Surah yang telah terpahat di ingatan kita, seeloknya diulangkaji paling kurang sekali seminggu. InsyaAllah kita tidak akan lupa.

 

Teknik Menghafaz Al-Quran Hafal

 

 

Sedikit peringatan buat diri sendiri dan para huffaz…baru-baru ini berbual dengan saudara dari Pakistan, katanya jika seorang hafiz Al-Quran membaca Al-Quran kurang dari 2 juzuk sehari, sesungguhnya anda sedang berusaha untuk melupakan Al-Quran.

Ayuh jadi sahabat Al-Quran!

 

Sekian.

Selamat menghafaz.

– Saif Khalid –

Ayah, Solat!

Ayah, Solat!

 

Suatu tengahari.

Sedang makan tengahari bersama isteri dan anak di sebuah restoran.

 

Azan Zuhur berkumandang di TV.

Allahu akbar~ Allahu akbar~

 

“Ayah, jom. Nak balik.”

“Jom balik. Cholat. Nanti kita mai lain.”

 

Dah besar lah anak ibuayah ni.

Alhamdulillah..

 

“Kalau kita biasakan diri dengan sesuatu,

dan anak kita perhatikan kita,

satu hari nanti,

dia yang akan ingatkan kita untuk lakukan perkara tersebut.”

 

Jadi biasakanlah diri dengan perkara baik.

Semoga Khadijah menjadi anak yang solehah. Amin…

 

 

Ayah, Solat!

pic: credit to akuastronaut.blogspot.com

– saif khalid –

Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih

Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih

 

1. Adakah anak anda selalu mengucapkan Terima Kasih bila menerima sesuatu?

2. Adakah anda selalu mengucapkan Terima Kasih bila menerima sesuatu?

Kalau jawapan untuk soalan nombor dua di atas adalah ‘YA’, besar kemungkinan soalan nombor satu juga adalah ‘YA’. Ataupun tak lama lagi jawapannya akan menjadi ‘YA’.

 

Suka saya kongsikan kisah benar yang berlaku sekitar lima belas (15) tahun lalu.

Ketika itu saya berada di tingkatan satu.

Seorang senior tingkatan dua, Ahmad Zaki selalu mendampingiku.

Orangnya baik, lemah lembut, sopan santun.

Satu perkara yang sangat saya kagum dengannya ialah beliau sentiasa mengucapkan “Terima Kasih” kepada sesiapa yang menolongnya. Termasuk diri saya sendiri.

Sekecil mana pun pertolongan, pasti dia akan menyebut “Terima Kasih”.

Saya mengambilkan untuknya sebuah buku, diucapkan “Terima Kasih”.

Saya hanya mengambilkannya sebatang pensil yang berada di belakang saya, pun diucapkannya “Terima Kasih”.

Tolong belikan air untuknya? Sudah pasti “Terima Kasih” tahap yang lebih tinggi akan kuterima.

 

Anda pernah dilayan dan dihargai sebaik itu oleh orang lain?

Siapa yang pernah merasainya pasti berasa amat BAHAGIA!

 

Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih

 

Membahagiakan orang lain adalah satu amalan MULIA.

Ia memberi kesan yang mendalam terhadap seseorang.

Jika tidak, mana mungkin saya masih mengingatinya setelah belasan tahun berpisah.

Seorang senior berterima kasih kepada seorang junior. Saya kira amalan itu sangat hebat.

 

Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih

 

Kini, saya yakin bahawa sifat syukur itu bermula dari sifat syukur kita kepada Allah.

Jika kita selalu bersyukur kepada nikmat Allah, kita juga akan bersyukur atas khidmat, pertolongan sahabat kita, dan pertolongan ahli keluarga kita seharian.

 

Jadi, Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih?

Amalan ini mesti dimulakan oleh ibu dan bapa dahulu.

Anak kita akan ikut apa yang dia lalui, apa yang dia dengari, dan apa yang dilihat.

Apa sahaja yang anak kita lakukan, kita ucapkan terima kasih.

Anak kecil kita tolong ambilkan pinggan ketika waktu makan, kita ucapkan kepadanya “Terima Kasih”.

Dia tolong ambil tuala ketika ingin mandi, kita ucapkan “Terima Kasih”.

Ketika dia menyuap kita makanan, kita ucapkan padanya “Terima Kasih”.

 

Kini, Khadijah yang bakal memasuki umur 2 tahun beberapa hari lagi, sudah biasakan dirinya dengan ucapan “Terima Kasih”.

Setelah dimandikan, dia ucap “Terima kasih ayah”, atau “Terima kasih ibu”.

Ketika kami menyeduk nasi ke dalam pinggannya, diucapkan “Terima kasih ayah”, atau “Terima kasih ibu”.

“Terima Kasih” tak lekang dari bibirnya.

 

^_^

 

Siapakah yang lebih bahagia daripada seseorang yang menerima ucapan terima kasih?

Penghargaan itu satu akhlak terpuji.

 

Bagaimana Mendidik Anak Mengucap Terima Kasih - Prof. Dr. Muhaya

 

Bahagialah seseorang itu apabila dia membahagiakan orang lain.

Selamat mendidik anak!

 

– Saif Khalid –

 

P/S: Kongsi artikel ini jika bermanfaat.

P/P/S: Terima kasih! 😀

Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi (2)

Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi (2)

 

Sambungan daripada entri kami yang lepas, kami akan berkongsi lagi Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi.

Kali ini lebih tertumpu kepada bayi.

 

Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi

 

Kelebihan Penyusuan kepada bayi;

  1. Sistem Imun bayi akan menjadi sangat tinggi. Ini kerana susu ibu mempunyai antibodi dan vaksin semulajadi yang baik.
  2. Tinggi IQ. Kolesterol dan lemak di dalam susu ibu membantu pertumbuhan tisu saraf.
  3. Mata – penglihatan lebih tajam.
  4. Kulit kurang terdedah kepada alahan.
  5. Kurang mendapat jangkitan telinga.
  6. Jangkitan pada saluran kencing adalah minimum.
  7. Bebas dari sembelit. Usus tidak terbeban oleh susu asing.
  8. Mulut – perkembangan muka akan menjadi lebih baik.
  9. Bayi yang minum susu ibu akan mempunyai kolesterol yang rendah apabila dewas kelak. Ini akan mengurangkan kadar serangan jantung.
  10. Kurang cirit-birit. Malah boleh mengurangkan alahan jika bayi diberi penyusuan eksklusif selama 6 bulan.
  11. Buah pinggang – kandungan protein dan garam yang minimum menjadikan susu ibu lebih mudah dicerna oleh bayi.
  12. Tekak – bayi yang minum susu ibu kurang mendapat Toncillectomies.
  13. Sistem Endoktrin – mengurangkan kadar penyakit diabetes.
  14. Bayi yang minum susu ibu kurang jangkitan pernafasan, kurang nafas berbunyi, kurang pneumonia, kurang selsema, dan kurang asma/lelah.
  15. Kurang penyakit otot.
  16. Lidah – susu ibu yang berubah-ubah rasanya akan merangsang lidah bayi. Kelak mereka akan lebih mudah menerima makanan yang pelbagai rasa. Berbeza dengan susu formula yang mempunyai rasa yang sama sepanjang masa.
  17. Kurang mendapat apendiks.

 

Tonton video ibu yang dia berusaha menyusukan anaknya walaupun siangnya bekerja, malam bangun pam susu lagi. Kental oiiii!!!

Dia Peer Counselor Laktasi, Tapi Masih Buat INI from iReach HD on Vimeo.

 

Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi (2)

 

Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi

Breastfed children

 

Itu adalah antara baaaaanyak kebaikan susu ibu kepada bayi.

Kalau kita perhatikan, sememangnya anak yang mendapat penyusuan eksklusif akan menjadi lebih hebat, lebih sihat, dan lebih responsif berbanding rakan sebayanya yang minum susu formula.

Lihat saja di taska, tadika atau tempat asuhan kanak-kanak. Kebiasaannya kanak-kanak yang minum susu formulalah yang sering demam, selsema, hingus mengalir dari hidung sepanjang tahun.

 

Ya, menyusukan anak memang sangat mencabar. Kalau nak senang, bancuh susu formula, sumbat je dengan botol. Anak cepat kenyang, senang tidur, tidur lama, bangun lambat. Tak perlu kerap tukar lampin, sebab bayi sembelit, so jarang berak.

Ya, bagi susu formula jauh lebih senang!

Tapi selepas menyedari Kebaikan dan Kelebihan Penyusuan kepada Ibu dan Bayi, kami akan berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak kami mendapat paling kurang penyusuan eksklusif selama 6 bulan, dan sebolehnya sehingga 2 tahun.

Alhamdulillah, Khadijah membesar dengan sihat, bijak dan aktif. Jarang demam atau selsema. Demamnya pun tak berapa panas, dan cepat baik. Paling lama pun 3 hari dia demam.

Jika demam sekalipun, kami kerapkan menyusu, sambil bagi makanan yang berkhasiat seperti tamar dan buah-buahan. Tak perlu kalut ke klinik untuk mengambil ubat. Kerana kami yakin kepada antibodinya. Namun jika demamnya terlalu panas, atau berlarutan, kami akan bawa berjumpa doktor.

 

2 minggu lagi, genaplah penyusuan ibu selama 2 tahun. Alhamdulillah. Syukur pada Allah.

 

Keperitan ibu? Hanya yang melaluinya akan merasai pahit manis.

Moga Allah memberkati, memberi ganjaran yang hebat kepada ibu-ibu seluruh dunia. Ameen..

 

Nak rasa perbezaan Shaklee?

Ingin menjana pendapatan bersama Shaklee?

Hubungi kami untuk sebarang pertanyaan, khidmat nasihat & konsultasi PERCUMA.

Saif Khalid/Nurbahiah Mohd Isa
013.200.2850/013.356.4876
Shaklee Independent Distributor

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Saya adalah salah seorang bekas pelajar Maahad Tahfiz.

Pertama-tamanya, terima kasih saya ucapkan kepada ibubapa saya yang menghantar saya ke pondok moden.

Saya dihantar ke Maahad Tahfiz Ummul Qura (MTUQ) pada umur 13 tahun, iaitu selepas tamat sekolah rendah. MTUQ terletak di Pondok Kolam, berdekatan Pak Badol, Melor, Kelantan.

Sistem pengajian Al-Quran di sini sangat bagus. Setiap pelajar WAJIB memasuki kelas tajwid dahulu sebelum dibenarkan memulakan hafazan.

Perkara ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang. Tetapi saya secara personal sangat bersetuju dengan sistem tersebut. Kerana dewasa ini, saya sedari semakin banyak sekolah tahfiz didirikan di sana sini. Masalah mula timbul bila pelajar dibenarkan menghafaz tanpa memantapkan tajwid terlebih dahulu.

Saya pernah jumpa sebilangan pelajar tahfiz yang mengimami solat tetapi bacaannya tidak memuaskan. Makhraj dan sifat huruf tidak dijaga, dengung tidak konsisten, panjang-pendek tidak dijaga. Masalah paling besar bila bacaan Al-Fatihah sendiri tunggang-langgang.

Saya ditempatkan di kelas tajwid selama 2 minggu. 2 minggu itu dikira agak sekejap, kerana ramai lagi yang tersangkut di situ berbulan-bulan.

Kami dilatih untuk membetulkan bacaan bermula dari mukasurat pertama Al-Quran, iaitu Surah Al-Fatihah, diiukuti Alif Lam Mim Al-Baqarah. Setiap kesalahan hendaklah dibulat atau digariskan. Kemudian setiap pelajar akan mengulangi bacaan yang betul berkali-kali sehingga lancar. Sedari waktu Subuh, hingga ke tengah hari, dan selepas Maghrib hingga pukul 10 malam.

Keesokan paginya – sesi tasmik. Pelajar memperdengarkan bacaan kepada guru seorang demi seorang. Pantang ada silap, ZASS!! Rotan akan menghinggapi mana-mana susuk tubuh yang dapat dicapai guru. Rawak.

Saya sempat membetulkan bacaan sehingga sempurna sebanyak 3 mukasurat sebelum ditukarkan ke kelas hafazan. Alhamdulillah.. Lega. 🙂

Boleh kata semua bahagian badan pernah merasai rotan.

Alhamdulillah..terima kasih guruku. Terima kasih ustaz-ustaz yang tegas, yang garang terhadap kami. Guru-guru, ustaz-ustaz yang garanglah yang kami akan semat dalam ingatan hingga akhir hayat.

Saya tak pernah berdendam kepada guru yang marah, rotan dan tegas kepada saya. Kalau bukan kerana mereka, sudah tentu saya takkan menjadi saya yang sekarang. Sudah tentu bacaan Al-Quran saya jauh lebih teruk dari sekarang!

Ringkasnya, setiap pelajar akan bersiap sedia sepenuhnya untuk memperdengarkan bacaan untuk esok hari. Langsung tak boleh tersilap walau satu baris. Langsung tak boleh tertinggal walau satu dengung. Langsung tak boleh membaca 4 harakat pada yang sepatutnya 6 harakat. Kalau tak, rotan akan hinggap di badan sebelum sempat mata melihat libasannya. Fuh!!

Ya, inilah yang akan meningkatkan mutu bacaan pelajar!

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Maahad Tahfiz Daril Naim

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Tahun berikutnya, oleh sebab tertentu, kami satu batch dipindahkan ke Maahad Tahfiz Daril Naim (MTDN). Ia terletak di Padang Kala/Kubang Bongor, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. Tak jauh dari lokasi MTUQ.

Sistemnya serupa.

– Kelas Al-Quran sesudah subuh hingga 12 tgh hari.

– Qailulah, tidur setengah jam pada tengah hari sebelum makan tengah hari.

– Kelas akademik dijalankan antara waktu Zuhur dan Asar.

– Lepas Asar adalah waktu riadhah. Akal yang cerdas datang dari badan yang cergas.

– Lepas Maghrib sehingga pukul 10 malam adalah waktu menghafal sendiri. Dipantau oleh guru.

– 10pm waktu minum malam. Ni feveret saya, makan roti butter gula cicah teh O panas. 😀

 

Saya menghabiskan tingkatan 2 dan PMR di MTDN.

Alhamdulillah berjaya menghadapi PMR dengan cemerlang walaupun balajar akademik hanya 2-3 jam sehari.

Berbekalkan keputusan 9A, saya diterima masuk ke sekolah tersohor di Kelantan – Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa.

 

Kepada para ibu bapa, usah risau jika anak-anak di Maahad Tahfiz keciciran mata pelajaran akademik. Asalkan bacaan dan hafazan Al-Qurannya mantap, ilmu akademik akan dirasa seperti di hujung jari.

Dengan izin Allah, pelajar tahfiz dapat menguasai ilmu akademik dengan pantas. Kerana apa? Pengajian dan disiplin Al-Quran itu berganda lebih hebat daripada ilmu akademik  – sekurang-kurangnya bagi tahap PMR dan SPM.

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Alhamdulillah..kini setelah saya berada di lapangan Al-Quran selama lebih kurang 15 tahun, sekarang saya sedang aktif mengajar Al-Quran kepada kejiranan saya di Kulim Square, Kulim.

Saya berusaha sebaik mungkin untuk mengajar anak murid saya sepertimana guru saya mengajar saya. Saya takkan membenarkan pelajar maju ke muka surat seterusnya sekiranya bacaan belum sempurna.

Saya dilatih begitu, dan saya takkan membiarkan anak murid saya tersilap baca.

Kerana saya menghargai usaha generasi-generasi terdahulu dalam menyebarkan kalam Allah ini. Jika mereka tidak mengambil berat akan bacaan mereka, mana mungkin bacaan Al-Quran ini dapat diturunkan dari generasi ke generasi tanpa sedikit kesilapan atau perubahan pun.

Saya yakin, bacaan Al-Quran kita pada hari ini yang mana diperakui betul oleh guru-guru, adalah sama seperti apa yang dibacakan Nabi Muhammad 1400 tahun dahulu. Kerana Al-Quran adalah mukjizat!

 

Itulah Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz berdasarkan pengalaman saya. Maahad Tahfiz lain mungkin berbeza sistemnya.

Apa-apa pun, sebelum hantar anak ke mana-mana pusat tahfiz, seeloknya cuba dengar dahulu bacaan pelajar-pelajar atau bekas pelajar mereka. Adakah mereka mengambil berat akan kualiti bacaan atau sebaliknya.

Ingat, untuk memperbetulkan bacaan setelah habis menghafal 30 juzuk bukan perkara mudah.

 

Sekian. Jika ada kemusykilan atau penambahan, silakan komen di bawah.

Selamat hari guru saya ucapkan kepada para guru, ustaz ustazah, pensyarah, profesor yang telah mengajar saya selama ini. Semoga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

 

__________

Saif Ar-Rahman Khalid

 

 

1 2 3 4 5