Keburukan Telefon Pintar (Smartphone)

Saya ada tulis entry mengenai Kebaikan Telefon Pintar (smartphone) sebelum ini. Anda boleh klik di sini untuk membacanya.

 

Keburukan Telefon Pintar (Smartphone)

 

Kali ini mari kita tengok apa pula keburukan telefon pintar kepada pengguna.

 

1) Melalaikan

Telefon pintar bakal melalaikan kehidupan seseorang. Jika tidak banyak, setidak-tidaknya kehidupan kita sebagai pengguna telefon pintar akan sedikit melalaikan.

Keasyikan melayan aplikasi yang menarik seperti aplikasi sosial dan videogame, kadang-kala membuatkan kita terlewat menunaikan solat, atau terlupa menyiapkan tugasan yang lebih penting di pejabat/rumah.

Cara atasinya: Pastikan kita siapkan perkara yang lebih utama dahulu pada waktu tersebut.

2) Membahayakan Keselamatan

Saya selalu terganggu semasa memandu – apabila kereta di depan tidak bergerak selepas lampu hijau menyala. Apabila di hon barulah tergesa-gesa tekan minyak. Apabila diperhati, ternyata pemandu tersebut leka menggunakan telefon pintar.

Tak kurang juga penunggang motosikal ‘tawaduk’ yang menunggang perlahan tidak kena pada tempatnya. Apabila dipotong, rupanya penunggang tersebut sedang menggunakan telefon pintar.

Amat berbahaya! Jika terlalu penting, hentikan kenderaan kita di tempat yang sesuai sebelum menggunakan gajet.

Keburukan Telefon Pintar smartphone IKXT_texting_and_driving_03

3) Menjauhkan Yang Dekat

Seperti yang saya terangkan pada perkara pertama di atas, kelalaian menggunakan telefon pintar boleh membuatkan kita secara tidak sengaja menjauhkan yang dekat. Kita lebih melayan ‘orang’ di dalam telefon berbanding dengan orang di sekitar kita.

Jika keterlaluan, orang akan melabelkan kita sebagai seorang yang sombong, atau pun anti-sosial.

Silaturrahim dengan orang di hadapan kita adalah lebih utama. Dan biasanya apabila kita berhubung dengan menggunakan telefon, kita akan faham apabila kita lambat mendapat respon. Mungkin ada sesuatu yang lebih penting bagi sahabat kita di sebelah sana.

4) Penyebaran Fitnah

Teknologi maklumat masa kini membuatkan ‘segalanya’ di hujung jari kita. Ya, segalanya. Yang baik, yang jahat, yang hangat, yang sejuk, dan segala-galanya.

Jika dahulu, untuk menyebarkan gosip, mungkin kita perlu menapak beberapa minit ke rumah kawan, atau menulis sepucuk surat dan menjilat satu-dua setem sebelum sesebuah info disebarkan. Tetapi kini, dalam beberapa saat, tanpa meninggalkan kerusi empuk kita, kita mampu menyebarkan maklumat kepada ribuan sahabat dan pengguna di seluruh dunia.

Jadi, fikir-fikirkanlah dahulu sebelum kita sebarkan sesuatu. Apakah pahala yang kita bakal dapat, ataukah dosa yang akan mengisi buku amalan kita. Hanya satu sentuhan ringan pada sekeping Corning Glass akan menentukannya.

5) Merencatkan Pertumbuhan Kanak-kanak

Kajian demi kajian telah membuktikan bahawa penggunaan gajet yang berlebihan akan membuatkan anak kecil terganggu pertumbuhannya. Sensor motor anak-anak yang sedang membesar akan terbantut apabila anak kita hanya berdamping dengan gajet sehari-hari.

Kan sepatutnya jari-jari kecil anak kita menerokai alam fizikal yang pelbagai, seperti mainan sebenar yang pelbagai saiz dan bentuk, makanan yang panas dan sejuk di dapur, haiwan yang ligat di ruang tamu kediaman, mahupun pasir, batu dan tumbuhan di depan rumah.

Tetapi bila segalanya dibuat, disalin dan dimasukkan ke dalam telefon pintar, apa yang anak kita dapat rasai hanyalah imej maya, dan semuanya dirasakan licin di skrin telefon. Inilah yang membuatkan anak kita kekurangan skil kemahiran hidup.

Keburukan Telefon Pintar kanak-kanak smartphone

 

6) Privasi Terganggu

Dengan menghubungkan kita dan segala maklumat kita di ruangan siber, bermakna maklumat kita boleh dicapai oleh orang asing – sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Kongsikan maklumat yang tidak membahayakan diri kita di internet.

Kurangkan berkongsi destinasi percutian yang akan kita singgahi esok. Kerana pemangsa akan tahu bahawa rumah kita akan kosong pada hari esok.

Keburukan Telefon Pintar (Smartphone)

 

 

Ini antara keburukan telefon pintar yang saya dapat fikirkan buat masa ini.

Jika anda punyai idea tambahan, marilah berkongsi dengan pembaca lain dengan menulis di ruangan komen di bawah.

 

Kongsi artikel ini jika anda rasakan ia bermanfaat. ^^

 

Sekian.

 

Saif Khalid

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *