Tag Archives: al-quran

Jom Belajar Baca Al-Quran

Berita Gembira

 

Alhamdulillah..minggu lepas kami dikhabarkan dengan berita yang menggembirakan.

Satu petang, kami pulang ke rumah dan ternampak dua pucuk surat terkeluar sedikit di peti surat.

Saya dekati, ternyata ada cop dari Jabatan Mufti Negeri Kedah.

“Wah! Ini berita baik!”, bisik hati saya.

 


 

 

Kira-kira sebulan lepas, kami hadiri ujian lisan tauliah mengajar tajwid di Sg. Petani.

Kami hadir berempat di IPSAH – Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim.

 

Jom Belajar Baca Al-Quran Kulim Square Kedah

 

Alhamdulillah, saya dan isteri dapat menjawab soalan ujian dengan baik. Sekejap sahaja masuk bilik, one-to-one dengan ustaz. Mula-mula giliran isteri. Saya bersama Khadijah dan Muhammad tunggu di depan bilik. Lepas tu barulah giliran saya, di tingkat atas.

 


 

 

Kelas Pengajian Al-Quran di Kulim Square

 

Dengan mendapat tauliah mengajar tajwid ini, kami berazam untuk menyampaikan ilmu dengan lebih meluas lagi.

Saya telah pun mengajar tajwid di rumah dan juga di Surau Al-Islah, Kulim Square.

Jika ada yang berminat, boleh hadir ke Kelas Tahsin Al-Quran di Surau Kulim Square, setiap Jumaat malam Sabtu, selepas Maghrib.

Tetapi dengan masa yang begitu singkat, saya hanya boleh sampaikan sedikit sahaja di surau tersebut. Kepada yang ingin mendalami lebih lagi tentang ilmu tajwid dan pembacaan Al-Quran dengan baik, dialukan untuk hadir ke kelas Al-Quran di rumah kami, yang diadakan setiap Rabu dan Jumaat, 9 – 10.30 malam.

 

Jom Belajar Baca Al-Quran Kulim Square Kedah

Kelas untuk Mereka yang Serius

 

Saya merupakan bekas pelajar maahad tahfiz yang saya kira agak strict.

(Bacaan lanjut pengalaman belajar saya di Maahad Tahfiz)
 

Jadi, sebagaimana saya diajar oleh guru, begitulah juga cara saya ajarkan kepada anak murid saya. Saya akan latih sampai dapat baca dengan baik dan lancar.

Apalah guna jika habis belajar Al-Quran sampai khatam, tapi bila suruh baca mana-mana ayat Al-Quran, tergagap-gagap. Itu maknanya tak belajar, tapi cuma baca sekali lalu supaya boleh cerita kepada orang lain ‘saya dah khatam Al-Quran’.

 

Baiklah, cukup sampai di sini. Saya mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja yang serius ingin belajar Al-Quran. Hubungi saya untuk maklumat lanjut.

 

-Saif Khalid-

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Saya adalah salah seorang bekas pelajar Maahad Tahfiz.

Pertama-tamanya, terima kasih saya ucapkan kepada ibubapa saya yang menghantar saya ke pondok moden.

Saya dihantar ke Maahad Tahfiz Ummul Qura (MTUQ) pada umur 13 tahun, iaitu selepas tamat sekolah rendah. MTUQ terletak di Pondok Kolam, berdekatan Pak Badol, Melor, Kelantan.

Sistem pengajian Al-Quran di sini sangat bagus. Setiap pelajar WAJIB memasuki kelas tajwid dahulu sebelum dibenarkan memulakan hafazan.

Perkara ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang. Tetapi saya secara personal sangat bersetuju dengan sistem tersebut. Kerana dewasa ini, saya sedari semakin banyak sekolah tahfiz didirikan di sana sini. Masalah mula timbul bila pelajar dibenarkan menghafaz tanpa memantapkan tajwid terlebih dahulu.

Saya pernah jumpa sebilangan pelajar tahfiz yang mengimami solat tetapi bacaannya tidak memuaskan. Makhraj dan sifat huruf tidak dijaga, dengung tidak konsisten, panjang-pendek tidak dijaga. Masalah paling besar bila bacaan Al-Fatihah sendiri tunggang-langgang.

Saya ditempatkan di kelas tajwid selama 2 minggu. 2 minggu itu dikira agak sekejap, kerana ramai lagi yang tersangkut di situ berbulan-bulan.

Kami dilatih untuk membetulkan bacaan bermula dari mukasurat pertama Al-Quran, iaitu Surah Al-Fatihah, diiukuti Alif Lam Mim Al-Baqarah. Setiap kesalahan hendaklah dibulat atau digariskan. Kemudian setiap pelajar akan mengulangi bacaan yang betul berkali-kali sehingga lancar. Sedari waktu Subuh, hingga ke tengah hari, dan selepas Maghrib hingga pukul 10 malam.

Keesokan paginya – sesi tasmik. Pelajar memperdengarkan bacaan kepada guru seorang demi seorang. Pantang ada silap, ZASS!! Rotan akan menghinggapi mana-mana susuk tubuh yang dapat dicapai guru. Rawak.

Saya sempat membetulkan bacaan sehingga sempurna sebanyak 3 mukasurat sebelum ditukarkan ke kelas hafazan. Alhamdulillah.. Lega. 🙂

Boleh kata semua bahagian badan pernah merasai rotan.

Alhamdulillah..terima kasih guruku. Terima kasih ustaz-ustaz yang tegas, yang garang terhadap kami. Guru-guru, ustaz-ustaz yang garanglah yang kami akan semat dalam ingatan hingga akhir hayat.

Saya tak pernah berdendam kepada guru yang marah, rotan dan tegas kepada saya. Kalau bukan kerana mereka, sudah tentu saya takkan menjadi saya yang sekarang. Sudah tentu bacaan Al-Quran saya jauh lebih teruk dari sekarang!

Ringkasnya, setiap pelajar akan bersiap sedia sepenuhnya untuk memperdengarkan bacaan untuk esok hari. Langsung tak boleh tersilap walau satu baris. Langsung tak boleh tertinggal walau satu dengung. Langsung tak boleh membaca 4 harakat pada yang sepatutnya 6 harakat. Kalau tak, rotan akan hinggap di badan sebelum sempat mata melihat libasannya. Fuh!!

Ya, inilah yang akan meningkatkan mutu bacaan pelajar!

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Maahad Tahfiz Daril Naim

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Tahun berikutnya, oleh sebab tertentu, kami satu batch dipindahkan ke Maahad Tahfiz Daril Naim (MTDN). Ia terletak di Padang Kala/Kubang Bongor, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. Tak jauh dari lokasi MTUQ.

Sistemnya serupa.

– Kelas Al-Quran sesudah subuh hingga 12 tgh hari.

– Qailulah, tidur setengah jam pada tengah hari sebelum makan tengah hari.

– Kelas akademik dijalankan antara waktu Zuhur dan Asar.

– Lepas Asar adalah waktu riadhah. Akal yang cerdas datang dari badan yang cergas.

– Lepas Maghrib sehingga pukul 10 malam adalah waktu menghafal sendiri. Dipantau oleh guru.

– 10pm waktu minum malam. Ni feveret saya, makan roti butter gula cicah teh O panas. 😀

 

Saya menghabiskan tingkatan 2 dan PMR di MTDN.

Alhamdulillah berjaya menghadapi PMR dengan cemerlang walaupun balajar akademik hanya 2-3 jam sehari.

Berbekalkan keputusan 9A, saya diterima masuk ke sekolah tersohor di Kelantan – Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa.

 

Kepada para ibu bapa, usah risau jika anak-anak di Maahad Tahfiz keciciran mata pelajaran akademik. Asalkan bacaan dan hafazan Al-Qurannya mantap, ilmu akademik akan dirasa seperti di hujung jari.

Dengan izin Allah, pelajar tahfiz dapat menguasai ilmu akademik dengan pantas. Kerana apa? Pengajian dan disiplin Al-Quran itu berganda lebih hebat daripada ilmu akademik  – sekurang-kurangnya bagi tahap PMR dan SPM.

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Alhamdulillah..kini setelah saya berada di lapangan Al-Quran selama lebih kurang 15 tahun, sekarang saya sedang aktif mengajar Al-Quran kepada kejiranan saya di Kulim Square, Kulim.

Saya berusaha sebaik mungkin untuk mengajar anak murid saya sepertimana guru saya mengajar saya. Saya takkan membenarkan pelajar maju ke muka surat seterusnya sekiranya bacaan belum sempurna.

Saya dilatih begitu, dan saya takkan membiarkan anak murid saya tersilap baca.

Kerana saya menghargai usaha generasi-generasi terdahulu dalam menyebarkan kalam Allah ini. Jika mereka tidak mengambil berat akan bacaan mereka, mana mungkin bacaan Al-Quran ini dapat diturunkan dari generasi ke generasi tanpa sedikit kesilapan atau perubahan pun.

Saya yakin, bacaan Al-Quran kita pada hari ini yang mana diperakui betul oleh guru-guru, adalah sama seperti apa yang dibacakan Nabi Muhammad 1400 tahun dahulu. Kerana Al-Quran adalah mukjizat!

 

Itulah Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz berdasarkan pengalaman saya. Maahad Tahfiz lain mungkin berbeza sistemnya.

Apa-apa pun, sebelum hantar anak ke mana-mana pusat tahfiz, seeloknya cuba dengar dahulu bacaan pelajar-pelajar atau bekas pelajar mereka. Adakah mereka mengambil berat akan kualiti bacaan atau sebaliknya.

Ingat, untuk memperbetulkan bacaan setelah habis menghafal 30 juzuk bukan perkara mudah.

 

Sekian. Jika ada kemusykilan atau penambahan, silakan komen di bawah.

Selamat hari guru saya ucapkan kepada para guru, ustaz ustazah, pensyarah, profesor yang telah mengajar saya selama ini. Semoga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

 

__________

Saif Ar-Rahman Khalid

 

 

Tarawih Ramadan 1434H

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah..kami sempat lagi dipertemukan dengan Ramadan tahun ini, 1434 H. Bulan yang penuh keberkatan.

Apa maksud berkat? Saya masih ingat kata-kata Ustaz Syazalie Hirman, ‘berkat’ bermaksud bertambah, atau berkembang.

Adapun pemahaman saya terhadap perkataan ‘berkat’ selama ini adalah bertambahnya kebaikan Ilahi dalam sesuatu perkara. Allahu A’lam.

berkat ummukhadijah

Saya ditugaskan untuk mengimami solat tarawih di surau taman Kulim Square, dimana terletaknya rumah kami sekeluarga. Tugas yang ditawarkan sebulan sebelum tibanya Ramadan saya sahuti untuk memperkemaskan hafazan Al-Quran saya. Moga-moga Al-Quran terus terpahat di hati.

Buku hasil karangan Mohd Solleh Ab. Razak banyak memberi inspirasi kepada saya untuk terus menjadi ahli Al-Quran. Bukan mudah tau menjaga hafazan Al-Quran. Nak hafal tu senang je, tapi nak jaga sehingga akhir hayat tu banyak dugaannya, betul tak?

Awal tahun ni saya mula baca buku ni, semangat saya berkobar-kobar dan saya menyahut cabaran untuk menjadi imam tarawih Ramadan kali ini. Seingat saya kali terakhir saya jadi imam tarawih adalah beberapa tahun lepas. Lain rasanya jadi imam solat fardhu dengan jadi imam tarawih, sebab tarawih ni memang menguji ketahanan mental dan fizikal kita. Respectlah kepada imam-imam tarawih seluruh dunia.

Buat semua penghafaz Al-Quran, dan juga kepada sesiapa yang ingin menghafaz, belilah buku ni sebagai panduan dan motivasi untuk kita terus belajar dan menjaga Al-Quran di dalam dada. InsyaAllah..

 

Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati

Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati

 

Sebagai permulaan, ada beberapa pengalaman menarik yang ingin saya kongsikan kepada pembaca.

Tarawih untuk malam pertama, jemaah agak kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan malam berikutnya. Mungkin ramai yang masih belum terasa kehangatan Ramadan. Mungkin juga orang ramai cuma akan terasa untuk menghidupkan malam Ramadan hanya setelah memulakan puasa pada hari pertama. Yelah, untuk tarawih malam pertama, siang harinya kita masih belum berpuasa.

Pengalaman mengemudi tarawih di malam pertama agak meletihkan. Beberapa kali juga saya terasa sedikit ‘goyang’ bila kembali qiam selepas sujud. Tapi tak lah teruk sangat. 😉

Cuma apa yang menarik, malam kedua, walaupun kita berpuasa di siang hari, tarawih pada malam tu sungguh bertenaga! Saya fikirkan tarawih akan lebih meletihkan apabila kita berpuasa sepanjang hari. Rupanya terbalik. Mungkin ini terjadi kerana terdapat keberkatan pada puasa tersebut. Ini menambahkan lagi keyakinan saya terhadap bagaimana umat Islam menang dalam perang Badar yang mana ia berlaku di saat mereka sedang berpuasa. Ya, salah satu faktor kemenangan adalah keberkatan pada puasa tersebut!

Inilah keberkatan berpuasa. Marilah kita sama-sama memeriahkan Ramadan kali ini, kerana belum tentu kita akan sampai ke Ramadan tahun depan. Rebut segala peluang yang ada. Semoga amalan di bulan Ramadan ini menjadi saham akhirat kita kelak, dan kita terus istiqamah untuk bulan-bulan yang seterusnya.

 

Until next time,

Saif Khalid