Tag Archives: motivasi

Tarawih Ramadan 1434H

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah..kami sempat lagi dipertemukan dengan Ramadan tahun ini, 1434 H. Bulan yang penuh keberkatan.

Apa maksud berkat? Saya masih ingat kata-kata Ustaz Syazalie Hirman, ‘berkat’ bermaksud bertambah, atau berkembang.

Adapun pemahaman saya terhadap perkataan ‘berkat’ selama ini adalah bertambahnya kebaikan Ilahi dalam sesuatu perkara. Allahu A’lam.

berkat ummukhadijah

Saya ditugaskan untuk mengimami solat tarawih di surau taman Kulim Square, dimana terletaknya rumah kami sekeluarga. Tugas yang ditawarkan sebulan sebelum tibanya Ramadan saya sahuti untuk memperkemaskan hafazan Al-Quran saya. Moga-moga Al-Quran terus terpahat di hati.

Buku hasil karangan Mohd Solleh Ab. Razak banyak memberi inspirasi kepada saya untuk terus menjadi ahli Al-Quran. Bukan mudah tau menjaga hafazan Al-Quran. Nak hafal tu senang je, tapi nak jaga sehingga akhir hayat tu banyak dugaannya, betul tak?

Awal tahun ni saya mula baca buku ni, semangat saya berkobar-kobar dan saya menyahut cabaran untuk menjadi imam tarawih Ramadan kali ini. Seingat saya kali terakhir saya jadi imam tarawih adalah beberapa tahun lepas. Lain rasanya jadi imam solat fardhu dengan jadi imam tarawih, sebab tarawih ni memang menguji ketahanan mental dan fizikal kita. Respectlah kepada imam-imam tarawih seluruh dunia.

Buat semua penghafaz Al-Quran, dan juga kepada sesiapa yang ingin menghafaz, belilah buku ni sebagai panduan dan motivasi untuk kita terus belajar dan menjaga Al-Quran di dalam dada. InsyaAllah..

 

Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati

Sehingga Al-Quran Terpahat di Hati

 

Sebagai permulaan, ada beberapa pengalaman menarik yang ingin saya kongsikan kepada pembaca.

Tarawih untuk malam pertama, jemaah agak kurang memberangsangkan jika dibandingkan dengan malam berikutnya. Mungkin ramai yang masih belum terasa kehangatan Ramadan. Mungkin juga orang ramai cuma akan terasa untuk menghidupkan malam Ramadan hanya setelah memulakan puasa pada hari pertama. Yelah, untuk tarawih malam pertama, siang harinya kita masih belum berpuasa.

Pengalaman mengemudi tarawih di malam pertama agak meletihkan. Beberapa kali juga saya terasa sedikit ‘goyang’ bila kembali qiam selepas sujud. Tapi tak lah teruk sangat. 😉

Cuma apa yang menarik, malam kedua, walaupun kita berpuasa di siang hari, tarawih pada malam tu sungguh bertenaga! Saya fikirkan tarawih akan lebih meletihkan apabila kita berpuasa sepanjang hari. Rupanya terbalik. Mungkin ini terjadi kerana terdapat keberkatan pada puasa tersebut. Ini menambahkan lagi keyakinan saya terhadap bagaimana umat Islam menang dalam perang Badar yang mana ia berlaku di saat mereka sedang berpuasa. Ya, salah satu faktor kemenangan adalah keberkatan pada puasa tersebut!

Inilah keberkatan berpuasa. Marilah kita sama-sama memeriahkan Ramadan kali ini, kerana belum tentu kita akan sampai ke Ramadan tahun depan. Rebut segala peluang yang ada. Semoga amalan di bulan Ramadan ini menjadi saham akhirat kita kelak, dan kita terus istiqamah untuk bulan-bulan yang seterusnya.

 

Until next time,

Saif Khalid