Tag Archives: rumahtangga

Tips Kebahagiaan Rumahtangga

 

Tips Kebahagiaan Rumahtangga

 

Ops! Layak ke saya nak cerita pasal rumahtangga?

Kahwin pun baru tiga tahun.

 

😉

Saya cuba kongsikan pengalaman kami melayari rumahtangga yang baru saja melepasi tiga tahun.

Ya, masih awal. Belum pun lepas fasa lima tahun pertama.

Takpa, semoga tulisan ini dapat terus memberi inspirasi kepada kami dan juga pasangan-pasangan di luar sana.

 

Tips Kebahagiaan Rumahtangga

 

Allah pesan kepada kita dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (pasangan) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram (sakinah) kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih (mawaddah) dan sayang (rahmah). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

 

Untuk kita faham ayat ni, wajib untuk kita berfikir. Kalau tak fikir memang tak nampak, memang tak dapat hargai rumahtangga yang dianugerahkanNya.

 

Tips Kebahagiaan Rumahtangga

 

1. Terima baik buruk pasangan seadanya.

Kita perlu syukuri kekurangan dan kelebihan pasangan masing-masing. Apa yang bagus pada pasangan kita, kita hargai dan apa yang kurang, kita terima seadanya.

Mungkin agak sukar untuk kita ubah kekurangan pasangan kita. (Mustahil barangakali) Tetapi setakat pemerhatian saya, kekurangan seorang suami dilengkapi oleh isteri, dan kekurangan isteri pula dilengkapi oleh suami.

Contohnya jika suami banyak cakap, ia dilengkapi oleh isteri yang kurang bercakap. Bukanlah saya kata banyak cakap itu tak elok. Sifat ini bagus untuk situasi tertentu, dan boleh jadi tak bagus untuk situasi lain.

Jika si suami malas kemas rumah, isteri biasanya akan rajin kemas rumah. Paling-paling pun dia akan terpaksa kemas rumah. Isunya di sini ialah siapa yang lebih dominan kemalasannya akan ‘menyerahkan’ tugas mengemas rumah kepada pasangannya.

 

2. Menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya.

Suami mempunyai hak ke atas isteri. Dan isteri juga punyai hak ke atas suami. Keduanya tidak boleh diabaikan. Ada segelintir suami menganggap hanya suami punyai hak ke atas isteri. Isteri tidak berhak menuntut apa-apa darinya. Tanggapan ini salah.

Bila hak masing-masing ditunaikan, kedua-dua pasangan akan rasa puas hati. Tiada apa yang boleh diungkitkan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Jika hak tak ditunaikan, mulalah nak ungkit sana sini. Betul?

Bagi yang baru setahun berkahwin dan sudah mempunyai cahaya mata, ini juga menjadi satu cabaran hebat! Di sini kita sebagai suami isteri diuji. Sebabnya tugas menjaga anak dan menguruskan hal rumah akan bertambah. Suami hendaklah membantu isterimenguruskan hal rumah seperti membasuh baju, menyidai baju, melipat baju, memasak, mengemas rumah, iron baju, dan banyak lagi. Nampak mudah ke kerja-kerja ni?? Mudah tapi kena saling bantu-membantu. Jangan berkira untuk buat sesuatu kerja.

 

3. Mengiktiraf suami sebagai ketua keluarga.

Saya tak menafikan bahawa wanita moden sekarang ramai yang berkerjaya. Ramai yang berpendidikan tinggi. Ada yang gajinya lebih dari gaji suami. Ada yang berpendidikan tinggi dari suami. Ini bukan bermakna si isteri tak perlu mendengar pandngan dan kata-kata suami. Atau senang cakap, isteri lebih hebat dari suami. Jadi, tak perlu ikut apa yang suami cakap.

Jika si isteri adalah bos kepada suami di pejabat, jika pulang ke rumah, suami adalah bos kepada isteri. Mesti!!

Jika peranan suami sebagai ketua keluarga tidak diiktiraf, bagaimana hendak mencapai kebahagiaan dalam rumahtangga? Suamilah yang mengetuai keluarga yang teridi dari isteri dan anak-anak. Hormati keputusan suami. Hormati pandangan suami andai ianya bertentangan pendapat dengan kita. Ingatlah bahawa, mentaati suami adalah suatu perbuatan yang amat mulia wahai isteri.

 

4. Bijak merancang ekonomi dalam rumahtangga.

Walaupun saya tak tahu statistik punca penceraian suami isteri di Malaysia, tapi saya yakin ekonomi atau duit senang cerita, antara punca penceraian rumahtangga. Suami dan isteri perlu bijak menguruskan kewangan. Gaji yang diperolehi dibahagikan kepada keperluan dan hak-hak yang sepatutnya. Jika keadaan mendesak, si isteri dapat membantu mencari duit lebih. Tugas mencari nafkah adalah tugas suami. Tapi, tidaklah menjadi satu kesalahan jika si isteri mebantu kerana kos sara hidup yang tinggi mendesak isteri untuk sama bekerja. Tulis atas kertas. Berapa RM untuk keperluan barang dapur, bayar rumah, bayar kereta, duit untuk anak dan isteri, duit simpanan dan lain-lain lagi. Jangan guna duit untuk membeli benda yang tidak berfaedah. Sebab, fasa awal perkahwinan memang kita perlukan banyak duit. Jangan dibazirkan duit kita.

 

5. Memanggil nama panggilan yang disukai.

Saya rasa fasa awal perkahwinan, mungkin 90% masih memanggil isteri dengan nama manja seperti sayang, anje, baby dan macam-macam lagi. Mungkin mak ayah kita yang sudah 40 tahun usia perkahwinan meremang bulu roma dengar. Hehe… Pangillah isteri dengan nama yang baik. Nama yang disukai isteri. Begitu juga dengan suami. Isteri panggillah suami dengan nama yang disukai beliau. Tak semestinya panggil ‘abang’ saja. Nak panggil ‘honey’ pun boleh. Ahaks! 😉 Bila panggil macam ni, hati yang sedang marah pun boleh cair tau…. tak percaya, cubalah.

 

Tips Kebahagiaan Rumahtangga

Apa lagi ye tips kebahagiaan rumahtangga untuk fasa awal perkahwinan ini? Banyak lagi jika kita details satu persatu. Cukuplah 5 yang di atas. Ingatlah perkahwinan yang dibina bukan untuk sehari dua, bukan sebulan dua, tetapi sampai syurga. Jadikan perkahwinan kita sebagai lubuk untuk kita suami isteri melombong pahala sebagai bekalan ke akhirat kelak. InsyaAllah. Jika ada masalah, selesaikan dengan baik. Jangan berbalah macam budak kecil. Jangan memendam terlalu lama sampai ianya meletup suatu hari nanti. OK.

Kami pun masih belajar selok belok rumahtangga. Baru 3 tahun berkahwin. Anak sudah dua alhamdulillah. Doakan kebahagiaan kami dan kami mendiakan kebahagiaan anda semua. Ameen..

Sekian, terima kasih.