Tag Archives: syurga

Dah Buat Checklist Untuk Masuk Syurga? Sentap!

Checklist Untuk Masuk Syurga? Sentap!

Pagi tadi jadual diisi dengan kuliah tafsir Surah Al-Qalam. Alhamdulillah dapat menghadirkan diri ke taman syurga bersama keluarga dan sahabat.

Surah Al-Qalam secara umumnya menceritakan kesedihan Nabi Muhammad dihina oleh kaumnya sendiri akibat menyampaikan dakwah.
Lalu Allah mententeramkan Muhammad dengan mengatakan beliau bukanlah seorang gila seperti yang didakwa kaum Quraisy. Apatah lagi ahli sihir, penyair, tukang tenung, dan gelaran-gelaran lain yang karut.

(Ha, pergi buka terjemahan Al-Quran dan baca)

Yelah, nabi juga orang kebiasaan macam kita – sudah tentu berasa sedih apabila dituduh sebegitu oleh bangsa sendiri.

Allah menguatkan semangat nabi dan menegah baginda dari berputus asa dengan membawa kisah Nabi Yunus. Nabi Yunus pernah berputus asa dari berdakwah, lalu membawa diri, manaiki kapal laut, pergi jauh dari kaumnya. Lalu Allah menjadikan laut bergelora, sehingga Nabi Yunus terpaksa dikorbankan – dilempar ke laut.

Kemudian Allah menghantar seekor ikan untuk menelan beliau. Ketika di dalam perut ikan itulah Nabi Yunus berdoa yang bermaksud, “Tiada tuhan selain engkau, maha suci engkau sesungguhnya aku adalah termasuk dari kalangan orang-orang yang melakukan kezaliman.”

checklist untuk masuk syurga

Berbalik semula kepada permulaan surah. Allah menyebut tentang pen dan apa yang ditulis.

Disini ditekankan betapa pentingnya kita menulis, mencatat atau merencana sesebuah perkara. Dan betapa umat Islam kini ketinggalan dari agama lain dalam bidang penulisan.

Jika sebelum ini, dalam surah pertama yang diturunkan, ditekankan kepentingan membaca, menulis juga tidak kurang pentingnya.

Dah Buat Checklist Untuk Masuk Syurga? Sentap!

Kita sedia maklum, untuk menjayakan sesuatu yang hebat, dan tentu perlu ada perancangan rapi. Kita tidak dapat lari dari membuat senarai semak (checklist), dan plan/jangkaan setiap fasa untuk sesebuah projek.

Engineer yang berjaya mempunyai plan yang mantap. Kontraktor dengan target dan plan jangkamasa yang hebat supaya projek dapat disiapkan salam tempoh yang ditentukan. Top student pula dengan senarai semak supaya tak leka dan dapat tumpukan perhatian penuh kepada pelajarannya sehingga tamat dengan kelulusan tertinggi.

Ustaz bertanya kepada kami, “Ada sesiapa di sini pernah khatam membaca terjemahan 30juzuk Al-Quran?”

Sentap.

Bukankah kita selalu menutur ‘Al-Quran dusturuna’? Bukankah kita selalu mengaku bahawa Al-Quran itu panduan kita?

Ustaz kemudian bertanya, “Siapa ada buat checklist untuk masuk syurga?”

Lagi SENTAP!

Rasanya kita semua sedia maklum, syurga itu sangat mahal nilainya. Sangat-sangat mahal. Bahkan terlalu mahal.

Lebih mahal dari 10 biji Lamborghini. Lebih mahal dari sebuah armada USS Kitty. Lebih mahal dari kos bandaraya Kuala Lumpur. Malah langsung tak terbanding dengan seluruh isi dunia ini.

Untuk kita dapat mencipta jentera sehebat Lamborghini, perancangan yang sangat rapi amat diperlukan. Jika hendak membeli sebuah supercar itu pun, seseorang usahawan perlu merancang sesuatu yang hebat untuk menjalankan bisnes yang memberikan pulangan berjuta-juta ringgit. Fikirkan sendiri bagaimanakah perancangan untuk mencipta dan membangunkan sebuah armada perang atau sebuah metropolitan.

Maka di manakah kedudukan syurga?
Di manakah pula usaha kita untuk mendapatkan syurga Allah?

Allah…

Pernahkah kita meletakkan matlamat, berapa kali saya perlu beristighfar sehari?

Berapa kali selawat sehari semalam?

Berapa ayat/muka/helai/juzuk Al-Quran perlu saya baca dalam sehari?

Berapa rakaat solat tahajud setiap malam? Dan pelbagai lagi amal soleh yang tak dapat saya senaraikan setiap satunya di sini.

Ya!! Bukan semudah itu untuk memasuki syurga!

 

Saya memesan kepada diri sendiri dan sahabat pembaca sekalian. Ayuh..kita muhasabah diri. Dimanakaha tahap kita sekarang.

Mari tingkatkan amalan, dan sentiasa merancang untuk kehidupan akhirat sana.

Nabi kita pernah berpesan, antara maksudnya, “Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati.”

 

Jom buat checklist!

 

Sekian.

Saif Khalid