Teknik Menghafaz Al-Quran

Pergilah ke mana-mana ceruk – bandar, pekan, kampung di sekitar Malaysia ini, mudah untuk kita temui madrasah atau Maahad Tahfiz Al-Quran.

Sekarang, kesedaran masyarakat umum terhadap kepentingan agama, khususnya ilmu Al-Quran, semakin meningkat. Satu petanda yang baik. Alhamdulillah.

Semoga semua pihak yang mendokong ilmu agama ini akan mendapat syafaat di akhirat kelak, insyaAllah.

Hari ini suka saya berkongsi dengan pembaca yang dikasihi sekalian, teknik menghafaz Al-Quran yang telah saya amalkan ketika di Maahad Tahfiz dulu.

 

Teknik Menghafaz Al-Quran

 

Teknik Menghafaz Al-Quran

Sebelum memulakan sebarang hafazan, kami dikehendaki menyemak bacaan dengan guru supaya tiada sebarang kesalahan tajwid. Kalaupun tidak sampai tahap sempurna, paling kurang tiada kesalahan besar berlakucontohnya tersalah baris, tertukar huruf, tertinggal dengung, atau salah panjang/pendek bacaan mad.

Ini amat penting kerana jika kita melakukan kesilapan pada peringkat awal hafazan lagi, khuatir kesilapan itu terpahat dalam ingatan. Jika kita menghafaz ayat Al-Quran dengan bacaan yang salah, maka sukar untuk kita perbetulkan di masa hadapan. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?

 

Baik, kita terus ke fasa menghafaz.

Apakah matlamat kita? Hafal kesemua 30 juzuk Al-Quran? Satu juzuk, satu surah pendek atau satu mukasurat?

Apapun target kita, caranya sama sahaja – iaitu ambil sedikit demi sedikit.

Untuk kita menghafaz 30 juzuk Al-Quran, sudah pasti kita perlu hafaz satu juzuk demi satu juzuk.

Untuk menghafaz satu juzuk, perlulah satu muka demi satu muka.

Dan yang paling penting, untuk menghafaz satu muka, perlu hafaz sebahagian demi sebahagian.

 

Saya bawakan satu contoh mudah. Katakan kita ingin menghafaz Surah Al-Mulk yang terdiri dari 30 ayat, dan dua mukasurat setengah.

Setelah kita menyemak bacaan dengan guru, kita mulakan hafazan dengan melazimi surah tersebut secara keseluruhan. Maksudnya kita baca dari ayat 1 sehingga ayat 30, secara sepintas lalu, berulang kali. Ulangi surah tersebut sebanyak 20 kali terus menerus, kita secara automatik sudah mula mengingatinya. Jika seseorang membaca satu ayat, mungkin kita akan boleh menyambungnya secara spontan.

 

Tahap kedua – ayat demi ayat.

Baca ayat 1 berkali-kali dan cuba membaca tanpa melihat mushaf. Setelah berjaya, hafal ayat 2.

Berjaya hafal ayat 2, ulang ayat 1 dan 2 sehingga lancar tanpa tersangkut.

Mara ke ayat 3. Setelah ingat ayat 3, lancarkan ayat 1 hingga ayat 3.

Ulangi langkah di atas sehingga satu mukasurat. Jika terlalu banyak untuk anda, kurangkan kepada setengah mukasurat.

Lancarkan separuh mukasurat pertama dahulu, kemudian hafal mukasurat kedua. Setelah lancar, gabung kedua-dua bahagian tersebut.

Ulangi langkah ini sehingga habis surah tersebut.

Langkah akhir, gabungkan kesemua bahagian, sehingga kita mampu membaca satu surah tanpa tersangkut.

Jika tersangkut, ulangi bahagian tersebut sehingga lancar.

Tips: Pastikan kita lancarkan juga hujung bahagian pertama dengan awal bahagian kedua. Contohnya kita ulangbaca ayat terakhir mukasurat pertama dengan ayat pertama mukasurat kedua.

Tahniah! Anda berjaya menghafaz satu surah dari 114 surah Al-Quran.

Ingat, kita belum tamat di sini.

Pastikan kita baca hafazan baru kita ini setiap hari sekurang-kurangnya selama seminggu. Kerana hafazan baru sangat manja. Jika tidak dibaca pada hari kedua-ketiga, kemungkinan besar kita akan melupakan sebahagian darinya.

Cara terbaik? Bacalah dalam solat kita, solat sunat mahupun yang fardhu.

Setelah kita melazimi surah tersebut selama seminggu. Kita boleh mula menghafaz surah lain. Surah yang telah terpahat di ingatan kita, seeloknya diulangkaji paling kurang sekali seminggu. InsyaAllah kita tidak akan lupa.

 

Teknik Menghafaz Al-Quran Hafal

 

 

Sedikit peringatan buat diri sendiri dan para huffaz…baru-baru ini berbual dengan saudara dari Pakistan, katanya jika seorang hafiz Al-Quran membaca Al-Quran kurang dari 2 juzuk sehari, sesungguhnya anda sedang berusaha untuk melupakan Al-Quran.

Ayuh jadi sahabat Al-Quran!

 

Sekian.

Selamat menghafaz.

– Saif Khalid –

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *