Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Saya adalah salah seorang bekas pelajar Maahad Tahfiz.

Pertama-tamanya, terima kasih saya ucapkan kepada ibubapa saya yang menghantar saya ke pondok moden.

Saya dihantar ke Maahad Tahfiz Ummul Qura (MTUQ) pada umur 13 tahun, iaitu selepas tamat sekolah rendah. MTUQ terletak di Pondok Kolam, berdekatan Pak Badol, Melor, Kelantan.

Sistem pengajian Al-Quran di sini sangat bagus. Setiap pelajar WAJIB memasuki kelas tajwid dahulu sebelum dibenarkan memulakan hafazan.

Perkara ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang. Tetapi saya secara personal sangat bersetuju dengan sistem tersebut. Kerana dewasa ini, saya sedari semakin banyak sekolah tahfiz didirikan di sana sini. Masalah mula timbul bila pelajar dibenarkan menghafaz tanpa memantapkan tajwid terlebih dahulu.

Saya pernah jumpa sebilangan pelajar tahfiz yang mengimami solat tetapi bacaannya tidak memuaskan. Makhraj dan sifat huruf tidak dijaga, dengung tidak konsisten, panjang-pendek tidak dijaga. Masalah paling besar bila bacaan Al-Fatihah sendiri tunggang-langgang.

Saya ditempatkan di kelas tajwid selama 2 minggu. 2 minggu itu dikira agak sekejap, kerana ramai lagi yang tersangkut di situ berbulan-bulan.

Kami dilatih untuk membetulkan bacaan bermula dari mukasurat pertama Al-Quran, iaitu Surah Al-Fatihah, diiukuti Alif Lam Mim Al-Baqarah. Setiap kesalahan hendaklah dibulat atau digariskan. Kemudian setiap pelajar akan mengulangi bacaan yang betul berkali-kali sehingga lancar. Sedari waktu Subuh, hingga ke tengah hari, dan selepas Maghrib hingga pukul 10 malam.

Keesokan paginya – sesi tasmik. Pelajar memperdengarkan bacaan kepada guru seorang demi seorang. Pantang ada silap, ZASS!! Rotan akan menghinggapi mana-mana susuk tubuh yang dapat dicapai guru. Rawak.

Saya sempat membetulkan bacaan sehingga sempurna sebanyak 3 mukasurat sebelum ditukarkan ke kelas hafazan. Alhamdulillah.. Lega. 🙂

Boleh kata semua bahagian badan pernah merasai rotan.

Alhamdulillah..terima kasih guruku. Terima kasih ustaz-ustaz yang tegas, yang garang terhadap kami. Guru-guru, ustaz-ustaz yang garanglah yang kami akan semat dalam ingatan hingga akhir hayat.

Saya tak pernah berdendam kepada guru yang marah, rotan dan tegas kepada saya. Kalau bukan kerana mereka, sudah tentu saya takkan menjadi saya yang sekarang. Sudah tentu bacaan Al-Quran saya jauh lebih teruk dari sekarang!

Ringkasnya, setiap pelajar akan bersiap sedia sepenuhnya untuk memperdengarkan bacaan untuk esok hari. Langsung tak boleh tersilap walau satu baris. Langsung tak boleh tertinggal walau satu dengung. Langsung tak boleh membaca 4 harakat pada yang sepatutnya 6 harakat. Kalau tak, rotan akan hinggap di badan sebelum sempat mata melihat libasannya. Fuh!!

Ya, inilah yang akan meningkatkan mutu bacaan pelajar!

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

Maahad Tahfiz Daril Naim

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Tahun berikutnya, oleh sebab tertentu, kami satu batch dipindahkan ke Maahad Tahfiz Daril Naim (MTDN). Ia terletak di Padang Kala/Kubang Bongor, Peringat, Kota Bharu, Kelantan. Tak jauh dari lokasi MTUQ.

Sistemnya serupa.

– Kelas Al-Quran sesudah subuh hingga 12 tgh hari.

– Qailulah, tidur setengah jam pada tengah hari sebelum makan tengah hari.

– Kelas akademik dijalankan antara waktu Zuhur dan Asar.

– Lepas Asar adalah waktu riadhah. Akal yang cerdas datang dari badan yang cergas.

– Lepas Maghrib sehingga pukul 10 malam adalah waktu menghafal sendiri. Dipantau oleh guru.

– 10pm waktu minum malam. Ni feveret saya, makan roti butter gula cicah teh O panas. 😀

 

Saya menghabiskan tingkatan 2 dan PMR di MTDN.

Alhamdulillah berjaya menghadapi PMR dengan cemerlang walaupun balajar akademik hanya 2-3 jam sehari.

Berbekalkan keputusan 9A, saya diterima masuk ke sekolah tersohor di Kelantan – Maahad Muhammadi Lelaki, Pengkalan Chepa.

 

Kepada para ibu bapa, usah risau jika anak-anak di Maahad Tahfiz keciciran mata pelajaran akademik. Asalkan bacaan dan hafazan Al-Qurannya mantap, ilmu akademik akan dirasa seperti di hujung jari.

Dengan izin Allah, pelajar tahfiz dapat menguasai ilmu akademik dengan pantas. Kerana apa? Pengajian dan disiplin Al-Quran itu berganda lebih hebat daripada ilmu akademik  – sekurang-kurangnya bagi tahap PMR dan SPM.

 

Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz

 

Alhamdulillah..kini setelah saya berada di lapangan Al-Quran selama lebih kurang 15 tahun, sekarang saya sedang aktif mengajar Al-Quran kepada kejiranan saya di Kulim Square, Kulim.

Saya berusaha sebaik mungkin untuk mengajar anak murid saya sepertimana guru saya mengajar saya. Saya takkan membenarkan pelajar maju ke muka surat seterusnya sekiranya bacaan belum sempurna.

Saya dilatih begitu, dan saya takkan membiarkan anak murid saya tersilap baca.

Kerana saya menghargai usaha generasi-generasi terdahulu dalam menyebarkan kalam Allah ini. Jika mereka tidak mengambil berat akan bacaan mereka, mana mungkin bacaan Al-Quran ini dapat diturunkan dari generasi ke generasi tanpa sedikit kesilapan atau perubahan pun.

Saya yakin, bacaan Al-Quran kita pada hari ini yang mana diperakui betul oleh guru-guru, adalah sama seperti apa yang dibacakan Nabi Muhammad 1400 tahun dahulu. Kerana Al-Quran adalah mukjizat!

 

Itulah Cara Pengajian Al-Quran di Maahad Tahfiz berdasarkan pengalaman saya. Maahad Tahfiz lain mungkin berbeza sistemnya.

Apa-apa pun, sebelum hantar anak ke mana-mana pusat tahfiz, seeloknya cuba dengar dahulu bacaan pelajar-pelajar atau bekas pelajar mereka. Adakah mereka mengambil berat akan kualiti bacaan atau sebaliknya.

Ingat, untuk memperbetulkan bacaan setelah habis menghafal 30 juzuk bukan perkara mudah.

 

Sekian. Jika ada kemusykilan atau penambahan, silakan komen di bawah.

Selamat hari guru saya ucapkan kepada para guru, ustaz ustazah, pensyarah, profesor yang telah mengajar saya selama ini. Semoga Allah mengganjari kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

 

__________

Saif Ar-Rahman Khalid

 

 

Related posts:

20 comments

  • USTAZ,SAYA BERMINAT UNTUK MENGHANTAR ANAK MENGAJI AL-QURAN DENGAN USTAZ.BAGAIMANA SAYA DAPAT MENGHUBUNGI USTAZ….

  • Pingback: Jom Belajar Baca Al-Quran - Ummu Khadijah

  • Nur Hidayah Abdullah

    Assalamualaikum ustaz..saya sgt suka membaca tulisan ustaz. Ustaz, saya ada anak perempuan umur 13 tahun dan sekarang sekolah kebangsaan. Masa skolah rendah dahulu saya tak hantar dia ke sekolah agama. Baru2 ini tiba2 terdetik dalam hati saya utk menghantar anak ke sekolah tahfiz dan byk juga pusat tahfiz yg saya hubungi tapi kesemuanya memerlukan keputusan agama semasa thn 6 dulu. Saya buntu dan tak tahu nak hantar anak saya kemana. Saya betul2 inginkan anak saya dan kami sekeluarga mendalami ilmu al-quran. Saya tahu pusat tahfiz kenakan bayaran dan saya tak kisah semua tu asalkan anak saya dpt belajar ilmu agama. Pusat tahfiz ustaz boleh ke terima anak saya belajar di sekolah ustaz? Kalau boleh, harap ustaz boleh maklumkan pada saya secepat mungkin. Terina kasih byk ustaz.

  • assalamualaikum ustaz,
    ada tak kelas hafazan alquran untuk tempoh pendek bagi perempuan dewasa? sy ingin luangkan masa cuti sekolah dgn menghadiri kelas al quran.

  • Assalamualaikum ustaz…
    Nak tanya berapakah had umur pelajar di maahad itu ?

  • Assalamualaikum ustaz , boleh tak ustaz senaraikan sekolah pondok atau maahad tahfiz yang boleh menerima pelajar dari zero terutama remaja berumur 15 tahun keatas.terima kasih

  • Alhamdulillah seronok mendengar perkongsian ustaz..saya juga bercita-cita nk hantar anak ke tahfiz..in shaa Allah..:)

  • assalam..kalau htr ank prmpuan umur 11 thn ke maahad tahfiz tanpa ambil upsr xpa ke ustaz

  • assalamualaikum..nak tnya klau anak sy yg brumur 14 tahun perempuan bleh masuk ke?? dan nak msuk pd bulan 6 ini insyaallah bleh ke??

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *